Ahad, 14 Jun 2015

Artikel : Hye2 ramadhon, bye2 syaiton.


“Berpuasalah kalian kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kalian kerana melihatnya (hilal). Apabila pandangan kalian tersamar (terhalang), maka sempurnakanlah hitungan bulan Sya’ban menjadi 30 hari”. [HR. Bukhari 4/106 dan Muslim 1081, dari Abu Hurairah ra].
ِﺫَﺍ ﺟَﺎﺀَ ﺭَﻣَﻀَﺎﻥُ ﻓُﺘِّﺤَﺖْ ﺃَﺑْﻮَﺍﺏُ ﺍﻟْﺠَﻨَّﺔِ ، ﻭَﻏُﻠِّﻘَﺖْ ﺃَﺑْﻮَﺍﺏُ ﺍﻟﻨَّﺎﺭِ ، ﻭَﺳُﻠْﺴِﻠَﺖْ ﺍﻟﺸَّﻴَﺎﻃِﻴﻦُ
“Apabila bulan Ramadan tiba, pintu-pintu surga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan setan-setan dibelenggu”
Telah berkata seorang penyair arab:
ﺃﺗﻰ ﺭﻣﻀﺎﻥ ﻣﺰﺭﻋﺔ ﺍﻟﻌﺒﺎﺩ *** ﻟﺘﻄﻬﻴﺮ ﺍﻟﻘﻠﻮﺏ ﻣﻦ ﺍﻟﻔﺴﺎﺩ
Tibanya ramadhan sebagai tempat bercucuk tanam bagi hamba***tibanya untuk membersihkan hati-hati dari kerosakkan dosa.
Berkata penyair lainnya:
ﻳﺎ ﺫﺍ ﺍﻟﺬﻱ ﻣﺎ ﻛﻔﺎﻩ ﺍﻟﺬﻧﺐ ﻓﻲ ﺭﺟﺐ *** ﺣﺘﻰ ﻋﺼﻰ ﺭﺑﻪ ﻓﻲ ﺷﻬﺮ ﺍﻟﺸﻌﺒﺎﻥ
ﻟﻘﺪ ﺃﻇﻠﻚ ﺷﻬﺮ ﺍﻟﺼﻮﻡ ﺑﻌﺪﻫﻤﺎ *** ﻓﻼ ﺗﺼﻴﺮﻩ ﺃﻳﻀﺎ ﺷﻬﺮ ﻋﺼﻴﺎﻥ
Wahai jiwa yang tidak cukup melakukan dosa dibulan rejab ***sehingga datang sya'ban pun masih bermaksiat,
Sesungguhnya selepasnya akan datang bulan puasa yang menaungi engkau***jangan kau jadikannya juga sebagai bulan untuk bermaksiat.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Ramadhan terus mendatang, menjenguk segala jiwa yang mengaku beriman .
Datang sebagai pelita baru dalam kehidupan , menabur janji menabur kasih buat insan terpilih.
Datangnya ingin mengisi kekosongan hati , terus merawat hati yang sedang pedih merintih dek kerana dikecewakan oleh diri sendiri.
Bukankah sebelum ini rejab sudah datang? Datang melabuhkan tirainya buat hati.
Bukankah sebelum ini Sya'ban sudah datang? Datang menghamparkan permaidaninya buat diri.
Balasan apakah yang kita berikan untuk rejab, untuk Sya'ban? Sedangkan mereka datang dengan penuh kerelaan bahkan dengan penuh rasa kecintaan.
Setiap kita tahu apa yang kita berikan.
Sekeping hati yang penuh dengan keegoan dosa,
Sekeping hati yang hipokrit bersama nafsu durjana.
Apakah ada kompromi dari syaitan?
Tidak, jangan terlalu awal untuk salahkan syaitan. Mari ujinya dengan kedatangan ramadhan. Sama ada tewas kita dengan syaitan atau lemas dengan nafsu yang merajai fikiran.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Bulan rejab, sya'ban, dan ramadhan datang dengan keistimewaannya tersendiri. Semua telah maklum. Namun betapa hebatnya keistimewaan ramadhan tidak perlu disangkal lagi.
Seperti sabda nabi yang bermaksud "Awalnya rahmah, tengah-tengahnya maghfirah dan akhirnya adalah pembebasan dari neraka" (Hadis dhaif,berstatus munkar bahkan dihukum matruk  tapi ada juga yang mengatakan soheh).
Terlalu banyak untuk disebutkan didalam artikel yang kecil ini. Cukuplah kita mengetahui bulan ramadhan datang untuk membersihkan hati dari dosa-dosa yang kita lakukan di bulan lainnya. Pintu taubat dibuka seluas-seluasnya.
Dan sebagai manusia, tidaklah kita terlepas dari melakukan kesalahan. Sudah sesama manusia banyak silap apatah lagi dengan Allah S.W.T.
Begitulah resepi hidup, bahannya lebih banyak dosa dari pahala. Sebagai hamba yang mengaku beriman, diri kita tak akan terkecuali dari diikat dosa cuma perlulah dileraikan dosa dengan taubat. Dosa itu ibarat pokok yang semakin hari semakin menumbuh, semakin membesar di dalam hati. Sekiranya tidak ditebas dari awal maka akan susahlah untuk ditebas kemudian hari. Cara menebasnya adalah dengan taubat, jangan sekadar tahu buat sahaja, taubatnya tidak.
Eloklah dengan kedatangan ramadhan ini kita hiaskan dengan taubat-taubat terhadap dosa yang dilakukan.
• Apa hebatnya taubat dibulan ramadhan?
Hebatnya adalah kita ditemani oleh puasa. Sepertimana yang diketahui puasa adalah cara untuk menundukkan nafsu. Nafsu tidak akan kalah dengan mana-mana lawan sekalipun melainkan dengan perut kosong.
Elok sangatlah taubat tadi disertakan puasa, dicampur perasaan yang sudah ingin berubah dengan nafsu yang sudah kalah. Lagi mudah urusan taubat.
Tapi bukannya bulan ramadhan dijadikan tempat bertaubat, bulan lain pula dijadikan lembah bermaksiat seperti yang kita lakukan selama bertahun-tahun sebelum ini.
Inilah salahnya kita hanya sekolah di bulan ramadhan, bulan lain terus cuti berpanjangan. Tidak salah mengertikan ramadhan sebagai sekolah kerana bermaksud bulan untuk mendidik.
Salahnya apabila kita menganggap ramadhan sebagai sekolah. Inilah mentaliti rakyat malaysia. Selepas lulus ujian sekolah terus buang kertas-kertas peperiksaan, terus gudangkan(simpan dalam stor) buku-buku teks sekolah. Ini yang salah.
Kita tidak sedar bukan ramadhan sekolah yang sebenar, sebaliknya dunia inilah sekolah sebenar-benar. Ramadhan hanyalah bilik darjah.
Selalu difahamkan sekolah itu sebagai penjara. Ya, "Memang sekolah dunia adalah penjara bagi orang beriman". Manakala "Universiti dunia pula adalah ladang untuk kita bercucuk tanam".
" ﺍﻟﺪﻧﻴﺎ ﺳﺠﻦ ﺍﻟﻤﺆﻣﻨﻴﻦ "
Di bulan ini juga adalah untuk menguji seteguh mana iman kita. Selama ini kita dikelilingi syaitan. Dan kita katakan bahawa syaitanlah yang mendorong kita bermaksiat. Walhal sebaliknya, di bulan ini marilah kita menguji sama ada perlukah syaitan memukau kita atau syaitan hanya mengatakan bahawa "Aku tidak perlu membisik ditelinganya kerana dia juga syaitan seperti aku"
• Bagaimana untuk menguji?
Tidak terlalu susah. Sebelom ini, sebelum syaitan dibelenggu kita bermaksiat. Dan sekarang semasa syaitan dibelenggu pun kita masih bermaksiat. Maknanya kita bermaksiat bukan disebabkan tipu daya syaitan tapi kita kalah pada nafsu sendiri.
Kuatkan iman tundukkan nafsu. Lazimkan diri dengan berdoa kepada Allah supaya dijauhkan dari kejahatan nafsu dan buruk perangai. Disamping itu sentiasalah minta berlindung dari tipu daya syaitan.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
• Penutup
Tinggal beberapa hari lagi ramadhan akan singgah. Singgahnya cuma sebentar manfaatnya amat banyak. Oleh itu, pusatkan ibadah dan taubah di bulan ramadhan, mudah-mudahan kesungguhan kita membekaskan ikhlas didalam jiwa. Seterusnya mendorong kita untuk terus istiqamah di bulan-bulan yang lain. Insyallah.

Tiada ulasan: